KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindisusulan insiden di Bentong, Pahang sambil memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan memandang serius insiden itu kerana sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme yang dijunjung oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, Prebet Muhammad Amirul Raziq menghembuskan nafas terakhir pagi tadi ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Temerloh, Pahang.
Beliau parah dipercayai dipukul suspek berpangkat Koperal disyaki berpunca ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan siasatan awal, seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka dan perut tujuh anggota kem berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan, Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kes tersebut.
“Kes ini kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.
“Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya, serta mengarahkan ATM memperkukuh disiplin dan integriti pasukan melalui tindakan tegas agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya. – MYNEWSHUB


