LUBNAN – Suasana pilu menyelubungi Indonesia apabila seorang anggota tenteranya gugur ketika sedang menunaikan solat dalam misi keamanan di bumi bergolak, Lubnan.
Prajurit Kelas Satu (Praka) Farizal Rhomadhon, 28, dilaporkan terkorban dalam satu serangan artileri berhampiran sebuah masjid di Adchit Al Qusayr, selatan Lubnan pada malam Ahad, 29 Mac lalu.
Lebih menyayat hati, ketika detik serangan berlaku, mangsa difahamkan sedang menunaikan solat Isyak bersama jemaah lain sebelum satu peluru mortar meletup berhampiran kawasan masjid tersebut, meragut nyawanya di tempat kejadian.
Allahyarham yang merupakan anggota Batalion Infantri 113/Jaya Sakti itu sedang berkhidmat di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).
Beliau meninggalkan seorang isteri dan seorang anak kecil.
Menurut laporan awal, siasatan awal mendapati serpihan peluru yang ditemui di lokasi dipercayai datang daripada tembakan kereta kebal, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius mengenai keselamatan pasukan pengaman antarabangsa di kawasan konflik itu.
Menteri Luar Indonesia, Sugiono, menggesa siasatan penuh dijalankan dan mengutuk keras insiden yang meragut nyawa anggota tenteranya, selain menyeru semua pihak agar menurunkan ketegangan.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres turut mengecam kejadian berkenaan dan menegaskan kepentingan melindungi pasukan pengaman yang bertugas di kawasan konflik.
Dalam insiden sama, tiga lagi anggota tentera Indonesia turut cedera, dengan seorang daripadanya dilaporkan parah dan kini menerima rawatan di Hospital St. George, Beirut.
Jenazah Allahyarham kini ditempatkan di markas UNIFIL sementara menunggu proses bedah siasat dan penghantaran pulang ke Indonesia. Bagaimanapun, proses itu dijangka mengambil masa berikutan penutupan laluan udara awam susulan konflik serantau.
Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Kulonprogo dengan penghormatan ketenteraan penuh.
Pemergian Farizal bukan sekadar kehilangan buat keluarga, tetapi juga satu luka buat seluruh rakyat Indonesia — seorang anak muda yang pergi dalam keadaan paling mulia, ketika sujud kepada Ilahi, dalam misi membawa keamanan kepada dunia.
Indonesia kini menuntut bukan sahaja penjelasan, tetapi keadilan atas pengorbanan wira mereka.-MYNEWSHUB


