SANDAKAN – Kira-kira 200 rumah atas air di Kampung Bahagia, Batu Sapi, musnah dalam satu kebakaran besar yang berlaku awal pagi hari ini, mencetuskan suasana panik apabila api marak menjulang tinggi dan menerangi keseluruhan kawasan penempatan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, api dilaporkan merebak dengan pantas berikutan keadaan penempatan yang padat, selain faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain sehingga menyukarkan usaha kawalan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, seramai 30 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan bomba turut menerima bantuan lima anggota dari BBP Kinabatangan bagi menjalankan operasi pemadaman di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, operasi berdepan kesukaran berikutan laluan sempit ke kawasan kampung selain keadaan air laut surut yang menyukarkan mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, beberapa aliran hos digunakan bagi mengawal kebakaran dengan sumber air diperoleh daripada jentera Water Tanker serta pili bertekanan berhampiran.
Operasi pemadaman turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal keadaan dan membantu mangsa yang terjejas.
Setakat ini, kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya dan operasi pemadaman sedang giat dijalankan.
Jumlah mangsa yang terlibat masih belum dapat dipastikan, manakala punca kejadian kini masih dalam siasatan pihak berkuasa.


