SANDAKAN, 19 April 2026 – Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi diaktifkan hari ini susulan kebakaran besar yang melanda Kampung Bahagia awal pagi tadi, menyebabkan ratusan penduduk hilang tempat tinggal.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata, keputusan membuka PPS dibuat selepas pemeriksaan mendapati kediaman penduduk tidak selamat untuk didiami buat sementara waktu.
Menurutnya, PPS berkenaan mula beroperasi seawal jam 7 pagi bagi menempatkan mangsa terjejas sehingga penilaian lanjut selesai dijalankan.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian tahap keselamatan di lokasi kejadian serta cadangan daripada JPBD,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat jam 9.15 pagi, laporan tidak rasmi memaklumkan seramai 89 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan kira-kira 445 mangsa telah dipindahkan ke PPS berkenaan.
Proses pendaftaran mangsa masih diteruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan semua mangsa menerima bantuan sewajarnya.
Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Terdahulu, kebakaran besar itu memusnahkan ratusan rumah di kawasan penempatan padat berkenaan dalam tempoh singkat akibat api yang marak dengan cepat.
— Mynewshub


