KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah mengecam kenyataan Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Sathia Prakash Nadarajan yang disifatkan sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, kenyataan itu bukan sahaja mencabar semangat kerjasama politik dalam kerajaan Selangor, malah boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
Armand Azha berkata, cadangan untuk memecat wakil UMNO Selangor, Datuk Rizam Ismail daripada jawatan Exco Kemajuan Desa dan Perpaduan adalah dangkal serta menunjukkan keangkuhan politik yang melampau.
“Saya ingin mengingatkan bahawa UMNO bukan parti picisan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Kenyataan sebegini mencetuskan ketegangan dan boleh dianggap sebagai provokasi terbuka terhadap rakan dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang pemimpin PKR Selangor menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memecat exco kerajaan negeri daripada UMNO, Rizam Ismail.
Gesaan itu dibuat susulan tindakan UMNO Negeri Sembilan yang didakwa mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan PKR di Negeri Sembilan.
Armand Azha turut mempersoalkan tahap pemikiran kepimpinan tertentu dalam PKR Selangor yang didakwa gagal memahami asas persefahaman antara parti-parti dalam kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan PKR mengambil tindakan segera terhadap Sathia, sambil menegaskan kegagalan berbuat demikian hanya akan mencerminkan pendirian sebenar parti berkenaan.
Dalam masa sama, Armand Azha memberi amaran bahawa UMNO Selangor tidak akan berdiam diri sekiranya terus diprovokasi atau dipandang rendah dalam kerjasama politik sedia ada.
Beliau juga mendesak agar satu pertemuan rasmi diadakan segera di peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan negeri bagi memperjelaskan pendirian semua pihak serta memastikan kestabilan politik Selangor. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Armand Azha


