KUALA LUMPUR – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menegah dan membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang mencetuskan persoalan dari sudut nilai, adab, dan hukum syarak.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, tetapi yang tidak membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai.
“Antara perkara yang menjadi kebimbangan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batasan yang jelas. Suasana festival yang terbuka dan tidak terkawal berpotensi mendorong berlakunya ikhtilat yang melampaui batas.
“Konsep festival air lazimnya melibatkan pemakaian yang tidak menepati syarat menutup aurat, lebih-lebih lagi dalam keadaan basah yang boleh menampakkan bentuk tubuh, sekali gus bercanggah dengan tuntutan syarak,” kata kenyataan itu.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkata, unsur hiburan melampau seperti muzik yang kuat, tarian bebas serta suasana yang mengasyikkan boleh membawa kepada kelalaian daripada mengingati Allah SWT dan mengabaikan kewajipan agama seperti solat.
Dalam banyak keadaan, festival seumpama itu juga dikaitkan dengan aktiviti yang tidak bermoral seperti pengambilan alkohol dan penyalahgunaan bahan terlarang.
Selain aspek akhlak dan pergaulan, penganjuran festival ini juga boleh dinilai dari sudut pembaziran, khususnya penggunaan sumber air, kewangan dan tenaga secara berlebihan tanpa manfaat yang jelas.
Penggunaan air yang berlebihan dan tidak terkawal dalam penganjuran festival air, semata-mata untuk tujuan hiburan, boleh dikategorikan sebagai pembaziran dan perbuatan Israf iaitu boros.
Tambah kenyataan itu, penganjuran festival berkonsepkan rave dilihat tidak selari dengan nilai-nilai adat dan budaya di negara ini serta memberi kesan negatif terhadap pembentukan sahsiah generasi muda.
“Pihak penganjur hendaklah peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, serta memastikan penganjuran acara tidak menimbulkan kontroversi atau ketegangan sosial,” kata Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


