KUALA LUMPUR – Hasil Petronas tidak boleh digunakan sepenuhnya oleh kerajaan untuk menampung pemberian subsidi minyak kerana ia bukan wang ‘percuma’
Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Petronas perlu menggunakan wang itu untuk membayar hutang, pelaburan semula dan kos operasi.
“Kenapa kita tak guna saja untuk ‘cover’ semua subsidi? Sebab Petronas bukan tabung kerajaan. Dia syarikat komersial. Ada kos, ada hutang, ada pelaburan. Bukan semua duit boleh ambil sesuka hati.
“Ambil contoh tahun 2025. Hasil RM266 bilion. Untung RM45.4 bilion. Nampak besar, tapi itu bukan semua duit ‘free’. Kena bayar hutang, labur semula, tampung operasi. Kerajaan ambil sebahagian saja,” katanya menerusi satu rakaman video.
Tengku Zafrul berkata, Petronas sebenarnya memang dah membantu banyak termasuk RM20 bilion dividen untuk tahun 2026.
Menurut beliau, sejak 1974, sekitar RM1.5 trilion diberi kepada negara, tetapi masalahnya, Petronas bukan sumber tanpa had.
“Sekarang, kita tengok subsidi sekarang sekitar RM4 bilion sebulan. Setahun boleh jadi RM48 bilion. Tambahan hasil minyak sekitar RM10 hingga RM14 bilion. Memang tak cukup nak ‘cover’ semua,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan tidak mahu semua keuntungan Petronas dihabiskan kerana boleh menyebabkan pelaburan berhenti, pengeluaran jatuh dan hasil masa depan susut.
“Ini bukan jimat, ini makan masa depan. Jadi isunya bukan Petronas untung atau tidak. Isunya macam mana urus kekayaan negara supaya cukup untuk hari ini dan masih ada untuk esok,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Tengku Zafrul


