KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To mendakwa kedudukan harga diesel Malaysia kini berada di tangga ke-99 daripada 169 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Dakwa beliau, data daripada portal GlobalPetrolPrices menunjukkan harga diesel di Semenanjung Malaysia pada kadar RM6.02 seliter meletakkan negara di kedudukan pertengahan dalam senarai global.
“Ini bermaksud 98 negara lebih murah daripada Malaysia. 70 negara lebih mahal daripada Malaysia,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau turut menyenaraikan pelbagai negara yang mencatatkan harga lebih rendah termasuk Venezuela, Iran, Arab Saudi, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Rusia.
Menurutnya lagi, Malaysia kini berada selepas Cameroon dan sebelum Guatemala dalam senarai tersebut.
Tambah beliau, situasi itu turut
menunjukkan beberapa negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Brunei dan Vietnam menawarkan harga diesel yang lebih rendah berbanding Malaysia.
“Malah Korea Selatan (RM5.59), Jepun (RM4.20), Amerika Syarikat (RM5.78), Rusia (RM3.86) dan Taiwan (RM3.93) juga mencatatkan harga lebih murah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Eric See-To – Lim Sian See


