KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli secara sinis meminta Perdana Menteri mendengar nasihat Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan supaya jangan salah pilih menteri.
Beliau melemparkan sindiran tersebut kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kekecohan yang berlaku di Konvensyen Keadilan Johor membabitkan Ramanan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim baru-baru ini.
“Kecoh Konvensyen PKR Johor bila Ramanan disanggah secara terbuka oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang… sebabnya Ramanan menggunakan pentas konvensyen parti untuk menyerang saya.
“Saya tak rasa apa pun. Serangan terhadap saya yang diatur bertali arus ini akan memakan diri. Jadi lagi banyak Ramanan buka mulut, sebenarnya lagi bagus,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Dalam perkembangan sama, Rafizi turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang, yang tampil mempertahankannya ketika insiden tersebut.
Menurutnya, masih ada pemimpin dalam PKR yang memahami soal adab serta menghargai jasa dan pengorbanan dalam perjuangan parti.
Rafizi turut membidas tindakan Ramanan yang secara terbuka menasihati Perdana Menteri agar tidak tersalah memilih Menteri Ekonomi.
Kata Rafizi, kenyataan itu seolah-olah memberi bayangan bahawa pelantikan beliau sebelum ini merupakan satu kesilapan.
“Rakyat menonton sendiri bongkaknya Ramanan sehingga boleh menasihati secara terbuka seorang Perdana Menteri supaya jangan salah pilih menteri ekonomi.
“Maknanya, sebelum ini Perdana Menteri telah buat silap kerana memilih saya menjadi Menteri Ekonomi,” katanya lagi.
Tambah beliau, walaupun mungkin dianggap sebagai gurauan atau “cuit manja”, namun adab dalam politik tidak seharusnya dipamerkan sedemikian di khalayak umum. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Rafizi Ramli


