KUALA LUMPUR – DAP meminta semua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang mendapat 10A ke atas diberikan penempatan secara automatik dalam program matrikulasi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang mengadakan mesyuarat bulanan malam tadi.
“Menyeru kerajaan meneruskan dasar untuk memastikan semua pelajar cemerlang SPM 2025 yang mendapat 10A ke atas diberikan penempatan secara automatik dalam program matrikulasi.
“Memastikan pelajar cemerlang yang lain turut diberi pertimbangan yang sewajarnya mengiikut kapasiti sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 13,779 calon SPM.2025 atau 3.55 peratus memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad dipetik berkata, sementara itu, seramai 376 calon pula mendapat gred A+ untuk semua mata pelajaran yang mana angka itu meningkat berbanding 2024. – MYNEWSHUB


