KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh melahirkan rasa kecewa apabila menjadi sasaran kecaman dan makian susulan pendiriannya menolak pembentukan kerajaan secara ‘tebuk atap’ dalam krisis politik di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, situasi tersebut berbeza dengan reaksi yang ditunjukkan ketika krisis pertukaran Menteri Besar di Perlis sebelum ini, apabila tindakan sama menerima tentangan hebat termasuk daripada penyokong mereka.
“Ada juga yang minta agar pilihan raya negeri diadakan sebagai tanda protes tindakan menebuk atap yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka di Perlis.
“Cacian dan makian atas tindakan tebuk atap itu jangan dikira, bergunung dimaki oleh penyokong mereka
“Tetapi apabila krisis di Negeri Sembilan berlaku lain pula nadanya, apabila saya menyatakan tidak bersetuju tindakan tebuk atap,maka berbondong makian diberikan kepada saya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Muhamad Akmal menegaskan prinsipnya kekal jelas iaitu UMNO boleh menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan, namun bukan untuk menubuhkan kerajaan baharu melalui kaedah ‘tebuk atap’ atau demi mengejar jawatan.
Sebaliknya, beliau menekankan bahawa sebarang perubahan kerajaan perlu melalui proses pilihan raya bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Kita menghormati mandat rakyat, sebab itu saya nyatakan sebelum ini tarik sokongan dan jadi pembangkang yang bermaruah.
“Jika menarik sokongan dan kerajaan tumbang maka kita harus melalui proses pilihan raya untuk kita serahkan semula kepada rakyat bukan dengan cara ‘tebuk atap’,” katanya.
Dalam masa sama, beliau melihat perkembangan sokongan ADUN Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan sebagai satu petanda positif ke arah kerjasama politik Melayu.
Namun, beliau menegaskan kerjasama tersebut perlu dibina melalui saluran pilihan raya dan bukan melalui pembentukan kerajaan secara pintu belakang.
Muhamad Akmal turut mengkritik sikap segelintir pihak yang menurutnya bersifat taksub, dengan menyifatkan sesuatu tindakan sebagai betul atau salah berdasarkan kepentingan sendiri.
“Rakyat perlukan pemimpin yang berprinsip, bukan pentaksub,” katanya.
Beliau menegaskan akan terus berpegang kepada pendiriannya sejak awal, iaitu sama ada UMNO menjadi pembangkang yang bermaruah atau menghadapi pilihan raya, tanpa menyokong pembentukan kerajaan secara ‘tebuk atap’. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


