Sambutan Global yang Semakin Bermakna
Setiap 2 April, dunia memperingati Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang telah diisytiharkan oleh United Nations General Assembly sejak pada tahun 2007.
Pada peringkat awal, sambutan ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang autisme.
Namun, landskap global kini telah berubah dengan ketara. Perbincangan tidak lagi terhenti pada tahap kesedaran semata-mata, sebaliknya berkembang kepada penerimaan, penghargaan dan penyertaan penuh individu autistik dalam masyarakat.
Tema tahun 2026, “Autism and Humanity – Every Life Has Value”, membawa mesej yang jelas dan tegas bahawa setiap individu autistik mempunyai nilai yang intrinsik dalam masyarakat.
Ia menolak naratif lama yang melihat autisme sebagai kekurangan semata-mata, sebaliknya menegaskan bahawa kepelbagaian neurologi adalah sebahagian daripada kekuatan kemanusiaan.
Dalam konteks global, usaha ini turut disokong oleh organisasi seperti Institute of Neurodiversity yang memperjuangkan perubahan sistemik dalam pendidikan, pekerjaan dan dasar sosial
Realiti Malaysia: Antara Kesedaran, Peningkatan Diagnosis dan Cabaran Sistemik
Di Malaysia, landskap autisme menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dalam tempoh satu dekad terakhir.
Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah kanak-kanak yang didiagnosis dengan autisme dan berdaftar telah meningkat secara signifikan daripada 6,991 orang pada tahun 2013 kepada 53,323 orang pada tahun 2023.
Lonjakan hampir lapan kali ganda ini bukan sekadar angka statistik, tetapi mencerminkan perubahan struktur dalam kesedaran, sistem diagnosis serta keperluan sokongan sosial yang semakin kompleks.
Peningkatan ini boleh ditafsirkan melalui dua dimensi utama:
Pertama, ia menunjukkan kemajuan dari segi kesedaran dalam kalangan ibu bapa, profesional kesihatan dan masyarakat umum terhadap tanda-tanda awal autisme.
Kedua, ia juga memberi isyarat jelas bahawa sistem sokongan sedia ada—merangkumi pendidikan, kesihatan dan kebajikan—sedang berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk memenuhi permintaan yang melonjak.
Lebih membimbangkan, angka ini berkemungkinan masih belum menggambarkan situasi sebenar.
Dengan merujuk kepada kadar prevalens global sekitar 1 dalam 100 hingga 1 dalam 68 kanak-kanak, terdapat kemungkinan bahawa sebahagian besar individu autistik di Malaysia masih belum didiagnosis atau tidak berdaftar secara rasmi.
Ini menunjukkan wujudnya jurang tersembunyi dalam sistem pengesanan awal dan akses kepada perkhidmatan.
Sehubungan itu, peningkatan kes autisme tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu kesihatan, tetapi perlu difahami sebagai cabaran pembangunan sosial yang memerlukan respons dasar yang lebih strategik, bersepadu dan berasaskan bukti.
Tanpa intervensi sistemik yang menyeluruh, peningkatan angka ini berisiko melebarkan lagi jurang ketidaksamaan dalam akses kepada pendidikan, terapi dan peluang kehidupan bermakna bagi individu autistik di Malaysia.
Kos Terapi dan Akses: Beban yang Tidak Seimbang
Salah satu isu utama yang terus membelenggu keluarga adalah kos terapi yang tinggi.
Intervensi seperti terapi pertuturan, terapi cara kerja dan terapi tingkah laku memerlukan komitmen kewangan yang berterusan, sering kali mencecah ribuan ringgit setiap bulan.
Bagi keluarga berpendapatan sederhana dan rendah, kos ini menjadi beban yang sukar ditanggung dalam jangka masa panjang.
Selain itu, terdapat juga ketidakseimbangan dari segi akses kepada perkhidmatan.
Kawasan bandar lazimnya mempunyai lebih banyak pusat intervensi dan tenaga pakar, manakala kawasan luar bandar masih berdepan dengan kekurangan perkhidmatan.
Jurang ini menyebabkan ramai kanak-kanak tidak menerima intervensi awal yang kritikal, sekali gus menjejaskan potensi perkembangan mereka.
Keadaan ini menunjukkan bahawa isu autisme tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab individu atau keluarga semata-mata, tetapi perlu ditangani melalui pendekatan dasar yang lebih menyeluruh dan berasaskan keadilan sosial
Peralihan ke Dewasa: Jurang Sokongan yang Ketara
Satu lagi cabaran besar dalam ekosistem autisme di Malaysia ialah kekurangan kesinambungan sokongan apabila individu autistik meningkat usia.
Ketika di peringkat kanak-kanak, pelbagai program pendidikan khas dan intervensi tersedia untuk membantu perkembangan mereka.
Namun, apabila mereka memasuki alam remaja dan dewasa, sokongan ini semakin berkurang.
Ramai individu autistik berdepan dengan ketidakpastian dalam laluan kehidupan mereka selepas tamat persekolahan.
Peluang untuk mengikuti latihan kemahiran, pendidikan tinggi atau program vokasional masih terhad dan tidak tersusun secara sistematik.
Akibatnya, ramai yang terpinggir daripada arus pembangunan sosial dan ekonomi.
Fenomena ini sering digambarkan sebagai “jurang peralihan”, di mana sistem sokongan gagal menyediakan kesinambungan yang diperlukan untuk memastikan individu autistik dapat hidup secara berdikari dan bermakna.
Dunia Pekerjaan: Potensi yang Belum Diteroka
Dalam aspek pekerjaan, individu autistik sebenarnya mempunyai pelbagai kekuatan yang boleh dimanfaatkan oleh majikan.
Mereka sering menunjukkan tahap tumpuan yang tinggi, ketelitian dalam tugasan, serta keupayaan berfikir secara sistematik.
Namun, realitinya penyertaan mereka dalam tenaga kerja masih rendah.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada situasi ini ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan majikan tentang keupayaan individu autistik, serta ketiadaan persekitaran kerja yang inklusif.
Selain itu, sistem sokongan seperti supported employment masih belum berkembang secara meluas di Malaysia.
Sedangkan, pengalaman di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa organisasi yang mengamalkan pendekatan inklusif bukan sahaja membantu individu autistik, tetapi juga memperoleh manfaat dari segi produktiviti dan inovasi.
Autisme dalam Kerangka Hak Asasi dan Pembangunan Mampan
Perbincangan mengenai autisme kini semakin selari dengan kerangka hak asasi manusia dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).
Pendekatan ini menekankan bahawa setiap individu, tanpa mengira keupayaan, berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan dan kehidupan yang bermaruah.
Dalam konteks ini, penerimaan terhadap neurodiversiti dilihat sebagai satu keperluan, bukan pilihan.
Masyarakat yang meraikan kepelbagaian akan lebih berdaya tahan, inovatif dan inklusif.
Oleh itu, usaha untuk memperkukuh dasar dan amalan yang menyokong individu autistik perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan negara.
Menuju Masa Depan Inklusif di Malaysia
Sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2026, Malaysia perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar meningkatkan kesedaran.
Tindakan konkrit perlu diambil untuk memperkukuh sokongan kepada keluarga, termasuk melalui subsidi terapi dan program komuniti yang lebih menyeluruh.
Pada masa yang sama, laluan perkembangan sepanjang hayat bagi individu autistik perlu dibangunkan secara sistematik, merangkumi pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.
Peranan majikan juga penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang inklusif dan menyokong.
Akhirnya, tema “Every Life Has Value” harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang nyata.
Autisme bukan sekadar isu kesihatan atau pendidikan, tetapi isu kemanusiaan yang menuntut komitmen bersama.
Hanya dengan pendekatan yang inklusif dan bersepadu, Malaysia mampu membina masyarakat yang benar-benar adil, penyayang dan tidak meninggalkan sesiapa di belakang.
MAKLUMAT PENULIS
Dr. Hasrul Hosshan
Pengarah, Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE),
Fakulti Pembangunan Manusia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


