Penulis Lirik Terkenal Hairul Anuar Harun Dikurniakan PhD di UPSI
Oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM, 11 November 2025 – Penulis lirik terkenal, Dr. Hairul Anuar Harun, hari ini dikurniakan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Peradaban Melayu sempena Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Istiadat tersebut disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Raja Permaisuri Perak yang juga Canselor di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Menurut beliau, proses penyelidikan dan penulisan tesisnya mengambil masa tiga tahun penuh, diikuti satu tahun untuk proses kelulusan.

“Sebenarnya, saya hampir putus asa menunggu proses kelulusan, tetapi atas beberapa faktor, saya terpaksa berkeras kepada diri sendiri untuk menamatkan apa yang telah dimulakan. Alhamdulillah, tahun ini saya berjaya menyelesaikan kesemuanya.
Selain bergelar graduan UPSI, Dr. Hairul Anuar juga dikenali sebagai penulis lirik berpengalaman yang telah menghasilkan lebih daripada 300 karya, termasuk lagu-lagu popular seperti Cindai, Balqis, dan Hati Kama.
Beliau mendedahkan bahawa inspirasi penulisan datang daripada minat membaca dan menelaah karya seni lain sejak usia muda.
“Saya mula menulis pada umur 22 tahun. Sebagai seniman, kita perlu banyak membaca dan menelaah supaya dapat memberi sesuatu yang baru kepada masyarakat dan industri.
“Begitu juga dengan tesis saya, yang mengkaji karya M. Nasir, sangat mencabar kerana ini adalah kajian pertama seumpamanya di dunia.

Dr. Hairul Anuar menekankan bahawa proses analisis dan penyelidikan dalam penulisan lirik atau karya akademik mempunyai persamaan dari segi keperluan menelaah dan memahami ilmu sebelum menghasilkan karya yang bermutu.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas peluang dan sokongan yang diterima sepanjang tempoh pengajian, serta berharap kajiannya dapat menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam mengenai peradaban Melayu dan warisan muzik negara.
Istiadat Konvokesyen ke-27 UPSI tahun ini menyaksikan pengurniaan ijazah kepada 7,173 graduan dari pelbagai peringkat pengajian, termasuk sarjana, doktor falsafah, dan diploma, yang berlangsung dari 11 hingga 18 November 2025 di universiti berkenaan.


