Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 24 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Amanzholov University, Kazakhstan bagi memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti pelajar di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pemeteraian MoU itu melambangkan aspirasi bersama untuk mengembangkan perkongsian ilmu, meningkatkan program dwi ijazah, memperluas mobiliti pelajar serta memperkukuh kerjasama penyelidikan strategik antara kedua-dua institusi.
“Kerjasama ini memberi peluang luas dalam bidang Pendidikan, Sains, Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kecerdasan Buatan (AI) serta Sains Sosial.
“Melalui inisiatif ini, kita dapat menghasilkan penerbitan berimpak tinggi dan memperkukuh permohonan geran antarabangsa,” katanya ketika menyempurnakan majlis itu di Bilik Seminar, Fakulti Sains dan Matematik, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
“Dengan adanya MoU ini, ia akan menjadi kerangka yang lebih kukuh untuk memacu pelbagai program strategik termasuk mobiliti pelajar, program dwijazah, pertukaran akademik, seminar, bengkel, forum akademik serta penyelidikan bersama,” ujar beliau.

Sementara itu, Rektor Amanzholov University, Profesor Mukhtar Tolegen menyifatkan pemeteraian MoU itu sebagai langkah penting dalam memperluas kerjasama antarabangsa universiti berkenaan, khususnya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
“Kami percaya kolaborasi dengan UPSI akan membuka peluang baharu untuk pelajar dan pensyarah kedua-dua pihak.
“Ia bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan tetapi juga meningkatkan kefahaman silang budaya antara masyarakat Malaysia dan Kazakhstan.
Beliau berkata, Amanzholov University amat menghargai hubungan yang telah terjalin sejak 2024 dan melihat MoU kali ini sebagai pengukuhan kepada usaha sedia ada dalam membina jaringan akademik global yang mampan.
“Kami berkeyakinan bahawa kerjasama ini akan menghasilkan program dwijazah yang berdaya saing, penyelidikan bersama yang berimpak tinggi serta mobiliti pelajar yang lebih meluas. Usaha ini sejajar dengan aspirasi kami untuk melahirkan graduan berwawasan global,” katanya.
Majlis turut menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara kedua-dua pihak sebagai simbolik permulaan kerjasama rasmi tersebut.
Hadir sama Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, H.E Bulat Sugurbayev; Naib Rektor bagi Pembangunan Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Profesor Madya Rovnyakova Irina; Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus; Dekan, Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah.


