WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump mencetuskan kebimbangan global selepas mengumumkan tindakan drastik untuk menyekat pergerakan kapal di Selat Hormuz susulan ketegangan berterusan dengan Iran.
Dalam satu kenyataan, Trump mendakwa rundingan dengan Iran berjalan lancar namun isu utama melibatkan program nuklear gagal mencapai persetujuan.
Menurutnya, Tentera Laut Amerika Syarikat akan segera memulakan proses “blockade” terhadap mana-mana kapal yang cuba memasuki atau keluar dari Selat Hormuz.
“Ini adalah peras ugut dunia. Amerika tidak akan tunduk,” tegasnya.
Trump turut memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang didakwa membayar ‘tol haram’ kepada Iran tidak akan diberikan laluan selamat di perairan antarabangsa, malah boleh dikenakan tindakan sekatan.
Beliau juga mengarahkan operasi untuk mengesan dan memusnahkan periuk api laut yang didakwa dipasang oleh Iran di laluan strategik tersebut.
Dalam nada lebih keras, Trump menyatakan bahawa sebarang tindakan serangan terhadap kapal Amerika atau kapal awam akan dibalas dengan tindakan ketenteraan yang tegas.
“Mana-mana pihak yang menyerang akan menerima balasan yang dahsyat,” katanya.
Trump turut mendakwa kekuatan ketenteraan Iran telah lumpuh sepenuhnya termasuk angkatan laut dan sistem pertahanan udara, selain mendakwa ramai pemimpin negara itu telah terbunuh – kenyataan yang masih belum disahkan secara bebas.
Beliau turut memberi bayangan bahawa sekatan ini akan melibatkan negara lain dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Tindakan ini dijangka memberi impak besar terhadap perdagangan global, memandangkan Selat Hormuz merupakan laluan utama eksport minyak dunia.
Setakat ini, pihak Iran masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung ancaman sekatan tersebut.


