KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mewakili Malaysia menghadiri upacara pengebumian bekas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei di Tehran, esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau turut menerima jemputan ke upacara berkenaan, namun tidak dapat hadir berikutan komitmen rasmi yang telah dijadualkan lebih awal.
“Bagi upacara pengebumian Khamenei di Tehran esok, kita akan menghantar Menteri Pertanian untuk mewakili negara,” katanya ketika berucap pada sesi dialog santai sempena Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39.
Ali Khamenei, 86, memimpin Iran selama hampir 37 tahun sebelum dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu.
Jawatan beliau kemudiannya disandang oleh anaknya, Mojtaba Khamenei.
Upacara pengebumian yang ditangguhkan selama lebih empat bulan itu dijadual berlangsung dari 3 hingga 9 Julai di Tehran, Qom dan Mashhad.
Majlis khas melibatkan kenamaan asing akan diadakan di Tehran pada hari pertama upacara tersebut.
Menurut pegawai Iran, lebih 30 negara dijangka menghantar wakil bagi menghadiri istiadat pengebumian berkenaan. – MYNEWSHUB


