KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kejayaan kumpulan orkestra Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Emas di Vienna.
Menurut beliau, kejayaan SPWinds adalah cerminan bahawa ekosistem pendidikan yang didukung guru-guru, ibu bapa dan masyarakat berupaya menyemarak bakat serta membina sahsiah unggul.
“Malam tadi mengadiri konsert ‘Winds of Glory’ oleh SPWinds bersama Amir Masdi yang memperlihatkan bagaimana pendidikan yang tuntas mampu melahirkan generasi muda yang berdaya saing.
“Bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Perdana Menteri berkata, kerjasama strategik bersama penggiat seni profesional seperti penyanyi Amir Masdi memperkaya pengalaman pembelajaran, malah menjadi wahana penting dalam memperluas ufuk pemikiran dan keyakinan anak-anak kita.
Justeru, beliau menyeru usaha murni itu terus disokong oleh semua pihak termasuk sektor swasta dan masyarakat demi memastikan perjalanan SPWinds ke pentas dunia seperti World Music Contest 2026 dapat dijelmakan.
“Walhasil, inisiatif seperti ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang membina legasi generasi yang berani, berbudaya dan berdaya saing di persada global,” katanya.
Anwar turut menyumbang RM100,000 kepada Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) (KSIB) Sekolah Seri Puteri sebagai tanda sokongan kepada kumpulan itu dan SPWinds. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


