KUALA LUMPUR – Sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyebaran berita palsu mengenai krisis tenaga global di platform media sosial dan digital susulan konflik di Asia Barat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kesemua kes tersebut kini sedang dalam siasatan lanjut.
Menurut MCMC, antara kandungan palsu yang tular termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api yang jauh melebihi pengumuman sebenar serta tarif elektrik yang kononnya meningkat.
Kandungan tidak benar lain turut melibatkan dakwaan bahawa kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran, pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura, serta penghantaran 329,000 tong diesel oleh syarikat Vitol ke Filipina yang didakwa milik Malaysia.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, MCMC memaklumkan pihaknya telah merakam keterangan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong bahan api diesel kepada Filipina.
Menurut MCMC, pihak berkuasa telah mengesahkan diesel tersebut adalah milik syarikat perdagangan Vitol dan bukan milik Petronas atau Kerajaan Malaysia.
“Peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita bagi membantu siasatan,” kata MCMC. – MYNEWSHUB


