Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan politik sepakat untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti yang terlibat termasuk UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (AMANAH)
Kata beliau, turut bersetuju adalah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA, dan Parti Ikatan Bangsa (IKATAN)
“Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai platform atau wahana yang akan menyediakan ruang untuk perbincangan.
“Perundingan dan dialog terbuka, tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, musyawarah yang berlangsung petang tadi menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman.
Menurut beliau, ia membabitkan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Ujar beliau, dalam sistem demokrasi, parti-parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang kerana ia lumrah dalam politik.
“Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” katanya. – MYNEWSHUB


