Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tampil menggesa satu pendekatan luar kotak dan menyeluruh bagi mendepani cabaran ekonomi global yang semakin meruncing ketika ini.

Beliau mencadangkan agar satu platform khas berbentuk Majlis Perundingan dan Intervensi diwujudkan, melibatkan penyertaan semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemain industri serta wakil masyarakat sivil.
Menurutnya, pendekatan inklusif itu penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kepentingan negara secara kolektif, bukan dipengaruhi sentimen politik sempit.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal kelangsungan negara. Dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia tidak boleh bergerak secara berpecah mengikut garis kepartian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, seluruh kekuatan negara perlu dihimpunkan merentasi perbezaan ideologi dan latar belakang demi memastikan kestabilan ekonomi serta kebajikan rakyat terus terpelihara.
Katanya lagi, konflik berpanjangan di Asia Barat ketika ini telah mencetuskan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin ketara, sekali gus memberi kesan langsung kepada Malaysia.
“Antara kesan yang mula dirasai termasuk kenaikan harga bahan tenaga, gangguan rantaian bekalan serta tekanan terhadap ekonomi dunia,” jelasnya.
Menurut beliau, situasi itu turut menyebabkan kos logistik meningkat, seterusnya memberi tekanan kepada kos pengeluaran dan operasi pelbagai sektor ekonomi.
Amaran turut diberikan bahawa dalam tempoh beberapa bulan akan datang, rakyat berkemungkinan berdepan kenaikan harga barang asas dan makanan, kos pengangkutan serta utiliti, selain risiko terhadap sektor pekerjaan.
“Tanpa intervensi dasar yang proaktif, risiko pemberhentian pekerja boleh meningkat, khususnya dalam sektor pembuatan, logistik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan mendesak untuk Malaysia mengamalkan pendekatan non-partisan yang lebih inklusif dan berteraskan tindakan, demi memastikan daya tahan ekonomi negara terus kukuh dalam menghadapi cabaran global. – MYNEWSHUB


