Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Isu pemain naturalisasi Harimau Malaya kembali hangat apabila satu dokumen lama tular di media sosial yang didakwa menunjukkan individu sebenar yang memperkenalkan pemain-pemain tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perkara itu tercetus selepas satu kenyataan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di platform X yang dilihat membalas tuduhan seorang pengguna media sosial yang mendakwa baginda perlu bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.
Dalam kenyataan ringkas tetapi tegas itu, TMJ berkata:
> “Setuju! Saya ada cadangan yang lebih baik. Beramai ramai take me to court with whatever evidence. Please.”
Kenyataan tersebut dilihat sebagai respon terhadap dakwaan bahawa proses naturalisasi pemain kebangsaan didalangi oleh baginda.
Namun, pada masa sama tular satu dokumen bertarikh 22 Oktober 2025 yang memaparkan kenyataan daripada Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, yang menjelaskan penglibatannya dalam proses memperkenalkan calon pemain warisan kepada FAM.
Dalam kenyataan itu, Tengku Abdul Rahman menyatakan bahawa beberapa ejen telah menghubunginya sejak hujung tahun 2024 untuk mencadangkan pemain-pemain berpotensi yang mempunyai kaitan warisan dengan Malaysia.
Menurut beliau, cadangan tersebut kemudian dipanjangkan kepada FAM untuk penilaian lanjut bagi menentukan sama ada pemain-pemain tersebut layak mewakili skuad kebangsaan.
Dokumen tersebut antara lain menyebut:
> “Saya telah memanjangkan cadangan tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dinilai dengan lebih terperinci — bagi menentukan sama ada pemain-pemain berkenaan memenuhi syarat sebagai pemain warisan.”
Pendedahan dokumen ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Ramai mempersoalkan mengapa TMJ terus menjadi sasaran kritikan, sedangkan dokumen yang tular itu menunjukkan proses memperkenalkan pemain warisan kepada FAM turut melibatkan pihak lain dalam ekosistem bola sepak negara.
Sebahagian penyokong bola sepak turut menyifatkan tuduhan terhadap TMJ sebagai tidak berasas dan menyeru supaya isu tersebut dilihat secara fakta dan bukan melalui persepsi.
Sehingga kini, FAM sendiri mempunyai proses penilaian tersendiri sebelum seseorang pemain layak didaftarkan sebagai pemain warisan atau naturalisasi bagi mewakili Harimau Malaya.
Isu ini dijangka terus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak negara, terutamanya menjelang kempen antarabangsa seterusnya. –MYNEWSHUB


