Oleh Mynewshub
SEREMBAN – Kesibukan jadual tidak menghalang Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk turun padang menyantuni rakyat apabila beliau berjaya menziarahi tujuh lokasi dalam sehari bagi menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada pelbagai golongan memerlukan.
Pada 15 Mac lalu, Ahli Parlimen Rembau itu memulakan jelajahnya di beberapa perkampungan Orang Asli termasuk Kampung Orang Asli Ulu Chuai dan Kampung Orang Asli Pabai yang terletak di Banjaran Titiwangsa di sempadan daerah Rembau dan Kuala Pilah.
Kehadiran Mohamad yang juga Menteri Luar disambut mesra penduduk kampung termasuk Tok Batin bersama masyarakat setempat.
“Saya gembira dapat menyantuni mamak-mamak dan inak-inak di Kampung Orang Asli Ulu Chuai serta menyampaikan sedikit sumbangan sempena Aidilfitri.
“Mudah-mudahan bantuan ini memberi manfaat dan menceriakan persiapan mereka menyambut hari raya yang bakal tiba,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Program menyantuni masyarakat Orang Asli itu turut melibatkan penduduk Kampung Orang Asli Dusun Kendong dan Kampung Orang Asli Dusun Paya dalam satu majlis di Masjid Qaryah Seri Kendong sebelum beliau meneruskan jadual padat ke kawasan lain.
Tidak terhenti di situ, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat kemudian meneruskan program ke beberapa lokasi dalam DUN Paroi termasuk Balai Raya Taman Senawang Jaya, Taman Satria Senawang, Kampung Sentosa serta Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi bagi menyampaikan bantuan kepada warga emas, asnaf fakir miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim.
“Walaupun jadual agak padat, peluang bertemu dan mendengar sendiri suara rakyat amat bermakna. Insya-Allah saya akan terus menjadualkan lawatan secara berkala bagi memastikan hubungan dengan komuniti termasuk masyarakat Orang Asli sentiasa terjalin erat,” ujarnya.
Usaha beliau yang bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dalam tempoh sehari itu turut dibantu kepimpinan UMNO cawangan setempat bagi memastikan setiap majlis penyampaian sumbangan berjalan lancar. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan


