Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar rakyat Malaysia berbelanja secara berhemah sepanjang menyambut Aidilfitri.
Menurut beliau, dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu, semua pihak perlu mengurus kewangan dengan lebih disiplin sebagai persediaan menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan.
“Saya ingin mengulangi seruan agar rakyat terus berbelanja secara berhemah sepanjang meraikan Syawal. Dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu, semua pihak perlu mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Madani terus memperhebat pelbagai ikhtiar bagi meringankan beban rakyat sepanjang Ramadan dan persiapan Aidilfitri.
Antara langkah dilaksanakan termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri serta pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026.
Selain itu, bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 telah dibuat pada 10 Mac lalu melibatkan 5.2 juta penerima dengan peruntukan RM1.3 bilion.
Kerajaan turut menyalurkan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran termasuk lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir.
Inisiatif lain termasuk peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa sebanyak RM400, pelaksanaan hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI serta larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing.
Sebagai sebahagian usaha tersebut, kerajaan turut memberi diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri serta melaksanakan pelepasan kebankrapan secara Fast Track melibatkan kira-kira 4,000 individu. – MYNEWSHUB


