KUALA LUMPUR – Syarikat, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol dan diesel di stesen minyak untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan perlu memohon dan mendapat kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, pembelian menggunakan Permit Khas itu bagaimanapun untuk kuantiti 20 liter keatas sahaja dan berdasarkan kepada harga pam semasa di stesen minyak.
Menerusi satu kenyataan media KPDN menjelaskan, peraturan itu bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol dan diesel diseleweng pihak tidak bertanggungjawab.
“Bagi tujuan permohonan Permit Khas ia boleh dilaksanakan melalui Sistem Permit Bekalan secara dalam talian (online) menerusi portal https://spb.kpdn.gov.my.
“Permit Khas ini adalah percuma dan terbuka kepada semua pihak yang berkelayakan,” kata kenyataan itu.
Menurut KPDN, sehingga kini terdapat 10 kategori yang layak memohon Permit Khas itu seperti forklift, pengangkutan air, penduduk
di kawasan pendalaman dan pulau.
Kategori lain adalah pengusaha industri makanan, rekreasi air, pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan, pembinaan berskala kecil.
Jelas KPDN, pemegang Permit Khas itu boleh menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang selamat dan bersesuaian mengikut kuantiti, alamat stesen minyak, tempoh dan kekerapan belian yang telah diluluskan.
“Tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan untuk membeli minyak di dalam tong di stesen-stesen minyak kecuali untuk kes-kes kecemasan sahaja dan kuantiti dibenarkan adalah di bawah 20 liter sahaja,” kata KPDN. – MYNEWSHUB


