KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan terdapat isu teknikal berhubung integrasi antara sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sistem MySubsidi KPDN bagi bulan April 2026.
Isu itu menyebabkan sebahagian pemegang fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), pendaftaran kenderaan baharu dan tukar milik kenderaan dalam tempoh 1 hingga 28 April 2026 tidak menerima kuota subsidi bahan api bermula 1 Mei lalu.
Sehubungan itu, KPDN memaklumkan sedang melaksanakan tindakan pembetulan dan semakan bersama pihak berkaitan bagi memastikan pengemaskinian data serta penjanaan semula kuota dapat dilaksanakan dengan segera.
“Bagi mempercepatkan proses semakan dan pengemaskinian, pemegang fleet card SKDS dan SKPS yang terkesan dimohon untuk mengemukakan beberapa maklumat.
“Nama syarikat, nombor pendaftaran SSM, nombor pendaftaran kenderaan dan tarikh memperbaharui cukai jalan/pendaftaran kenderaan baharu/tukar milik melalui pautan https://forms.gle/hQy1ZQZ2NZoBFJgeA.
“Maklumat hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 8 Mei 2026 (Jumaat), sebelum pukul 5 petang,” kata KPDN menerusi kenyataan media hari ini.
KPDN menjangkakan kuota bagi pemegang fleet card SKDS dan SKPS yang terkesan dapat dijana semula dalam tempoh 9 hingga 11 Mei 2026 dan maklumat lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
KPDN seterusnya menyatakan penghargaan terhadap kerjasama semua pihak dan komited untuk memastikan proses penyaluran subsidi kepada golongan serta sektor yang layak dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
“Sebarang kesulitan yang timbul amat dikesali,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB


