KUANTAN – Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan membabitkan dakwaan menghina Islam dan membuat penghantaran komunikasi jelik melampau di media sosial.
Tertuduh, K S Vikneswaran, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencemarkan al-Quran dengan niat mengaibkan agama Islam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 1.30 petang pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan.
Bagi kesalahan tersebut, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau melalui aplikasi Threads pada lokasi dan masa yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang, Sharizat Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Rusnizam Abdullah.
Pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 serta menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

