Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar mengecam sekeras-kerasnya serangan hendap yang didakwa berlaku terhadap aktivis media sosial, Zamri Vinoth.
Menurutnya, tindakan menyerang seseorang menggunakan kayu dan batu serta merosakkan kenderaan merupakan perbuatan samseng yang tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.
Beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan tidak sepatutnya diselesaikan dengan keganasan.
“Saudara Zamri Vinoth hanya menyuarakan kebimbangan masyarakat terhadap isu pembinaan kuil secara haram di atas tanah yang bukan miliknya.
“Isu ini bukan isu kaum atau agama, tetapi isu kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap hak milik tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Sukri berkata, serangan tersebut juga menimbulkan kebimbangan kerana ia seolah-olah menunjukkan wujud pihak tertentu yang cuba menakut-nakutkan suara rakyat melalui budaya keganasan.
“Tindakan seperti ini hanya akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat dan menggugat keharmonian negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera terhadap insiden berkenaan serta mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat.
“Negara ini tidak boleh tunduk kepada tekanan kumpulan samseng yang cuba mencetuskan ketakutan kepada rakyat. Tiada sesiapa berhak diserang hanya kerana menegakkan isu yang melibatkan kepentingan awam,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Foto Dan Info: FB Mohamed Sukri Omar


