Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam tindakan Iran kerana menyasarkan beberapa negara anggota pertubuhan itu dengan peluru berpandu balistik.
Menurut kenyataan tersebut, OIC mengutuk serangan yang menyasarkan kedaulatan dan wilayah negara-negara jiran anggota termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Qatar, Kuwait serta Jordan.

“Tindakan itu disifatkan sebagai satu eskalasi yang tidak boleh diterima dan ancaman serius terhadap kestabilan seluruh rantau,” kata OIC semalam.
Sekretariat Agung OIC berkata, perkembangan tersebut membawa implikasi besar terhadap keamanan dan keselamatan serantau.
Menurut kenyataan itu, OIC menyatakan solidariti penuh terhadap negara yang terkesan dalam menghadapi sebarang bentuk pencerobohan yang menjejaskan kedaulatan, keselamatan dan kestabilan mereka.
Dalam masa sama, OIC memberi amaran bahawa pelanggaran berterusan terhadap kedaulatan negara anggota serta prinsip undang-undang antarabangsa merupakan satu preseden berbahaya yang boleh menggugat asas hubungan antarabangsa yang berteraskan semangat kejiranan baik, saling menghormati dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman.
Sehubungan itu, Sekretariat Agung OC mengulangi gesaan supaya semua tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan dihentikan serta-merta.
OIC turut menyeru agar semua pihak menahan diri dan kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan konflik lebih luas yang berpotensi mengancam keselamatan dan kestabilan rantau berkenaan. – MYNEWSHUB


