Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Ismail menyindir pihak yang cuba menjatuhkan reputasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan dakwaan 91 peratus pendapatan kelab datang daripada dana awam.
Menerusi hantaran di platform X, baginda menyifatkan tindakan tersebut sebagai usaha terdesak kerana tidak mampu bersaing dengan kelab berkenaan.
“Terlalu terdesak. Sungguh menyedihkan. Mereka tidak mampu bersaing, jadi mereka cuba sedaya upaya mencari jalan lain untuk menjatuhkan reputasi kelab bola sepak Johor kami. Cuba lagi kuat,” sindir baginda.
Terdahulu, JDT menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa sebahagian besar hasil pendapatan kelab bagi tahun 2024 berpunca daripada sumber awam atau berkaitan kerajaan.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, dakwaan tersebut tidak tepat, tidak berasas dan berpunca daripada salah tafsir terhadap fakta sebenar dalam akaun kewangan teraudit kelab.
Menurut beliau, walaupun laporan kewangan menyenaraikan Majlis Sukan Negeri Johor serta geran atau sumbangan kerajaan, ia merupakan prosedur operasi standard bagi menyalurkan dana melalui saluran berkenaan untuk pelbagai tujuan.
Beliau menjelaskan bahawa di Malaysia, penajaan sukan oleh syarikat swasta lazimnya disalurkan melalui majlis sukan di peringkat negeri atau kebangsaan bagi membolehkan syarikat penaja menikmati pelepasan cukai.
Sehubungan itu, katanya, sebahagian besar jumlah yang dibangkitkan dalam isu berkenaan sebenarnya merupakan sumbangan penaja swasta yang disalurkan melalui majlis sukan.
Edwards turut memaklumkan bahawa geran kerajaan pula diperuntukkan khusus bagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi, termasuk penganjuran kejohanan remaja serta program pembangunan bola sepak di seluruh Johor.
Menurutnya, dana tersebut disalurkan terutamanya kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor serta persatuan bola sepak daerah bagi tujuan pembangunan sukan.
“Tiada satu pun daripada geran ini digunakan bagi operasi bola sepak kelab seperti perbelanjaan pasukan utama, gaji kakitangan, operasi akademi atau penyelenggaraan aset kelab,” katanya. – MYNEWSHUB



