KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengucapkan tahniah kepada kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elite 2025–26.
Menurut beliau, kejayaan itu bukan sekadar kemenangan di atas padang, tetapi simbol kepada disiplin, visi dan keberanian untuk berada dalam kelompok elit bola sepak Asia.
“Menjunjung kasih HRH Crown Prince of Johor (Tunku Mahkota Ismail) yang tidak pernah berhenti berputus asa membangunkan industri bola sepak sejak dari hari pertama sehingga ke hari ini JDT mampu duduk sebaris dengan kelab ternama.
“Dari hanya sebuah impian rakyat Malaysia untuk melihat ada kelab dari Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa hari ini alhamdulilah impian itu terlaksana,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Akmal berkata, JDT hari ini bukan lagi sekadar juara domestik tetapi sudah berdiri sebaris dengan kelompok elit kelab-kelab gergasi Asia iaitu satu standard baru yang memaksa semua pihak untuk berfikir lebih besar.
Menurutnya, beliau secara peribadi melihat perkembangan itu bukan tentang Johor semata-mata, sebaliknya tentang sebuah visi jelas yang boleh mengangkat nama Malaysia lebih tinggi daripada yang pernah dibayangkan.
“Teruskan melangkah. Teruskan mencabar sempadan. Kerana bila ada yang berani buat, seluruh negara akan tumpang bangga.
“Moga Allah berikan kemenangan buat JDT pada 18/4/2026 dan melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


