Oleh Mynewshuh
KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Profesor Dr. P. Ramasamy mendakwa penganjur dialog antara beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam pada 19 Mac lalu melakukan kesilapan.
Beliau mendakwa, penganjur tersilap kerana menjemput individu yang menerajui gerakan menentang kuil hindu ‘haram”seperti Zamri Vinoth, Firdaus Wong dan Cikgu Chandra dalam dialog tersebut.
Dakwanya, beliau tidak menentang dialog untuk memupuk keamanan dan kestabilan, namun penganjur telah menjemput individu yang bertanggungjawab mencetuskan ketegangan etnik dan agama.
“Mengapa wakil hindu perlu duduk semeja dengan Zamri, Firdaus dan lain-lain yang telah menunjukkan sikap permusuhan terhadap masyarakat Hindu?
“Tanpa rasa hormat dan maruah terhadap penganut hindu di negara ini, sebarang dialog yang bertujuan mengurangkan ketegangan etnik dan agama tidak akan berjaya,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial baru-baru ini.
Terdahulu, Ramasamy yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP berkata, beliau dan beberapa pemimpin utama Urimai lain telah dijemput untuk menghadiri dialog berkenaan.
Menurutnya, mereka bercadang untuk hadir sekiranya dialog itu benar-benar menjadi platform pertemuan pemimpin masyarakat daripada pelbagai kumpulan etnik.
Bagaimanapun, katanya, keputusan itu terpaksa dikaji semula selepas mendapati beberapa individu lain seperti Zamri Vinoth, Firdaus Wong dan Cikgu Chandra turut dijemput.
“Bagaimana dialog ini boleh dianggap serius apabila individu yang menjadi punca ketegangan etnik dan agama turut dijemput untuk mengambil bahagian?
“Kami memutuskan untuk tidak menghadiri majlis tersebut bukan kerana kami tidak serius untuk berdialog, tetapi disebabkan kehadiran individu-individu tersebut,” dakwanya lagi.
Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang mendakwa, faktor itu juga menyebabkan organisasi hindu serta parti politik India arus perdana enggan menyertai dialog tersebut.
Dakwanya, pihak penganjur walau mungkin mempunyai niat baik, tapi gagal memahami jemputan kepada individu berkenaan boleh menggagalkan matlamat sebenar penganjuran dialog itu.
Beliau berkata, wakil hindu yang hadir tidak sepatutnya berbuat demikian, selain mendakwa mereka bukan daripada organisasi sosial, keagamaan atau politik arus perdana. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Prof Dr. Ramasamy


