Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Profesor Dr. P. Ramasamy menegaskan hasil pendapatan Petronas wajar digunakan bagi menampung subsidi bahan api susulan kenaikan harga ketika ini.
Menurut beliau, kerajaan ketika ini membelanjakan kira-kira RM3.2 bilion untuk subsidi bahan api, jumlah yang disifatkan kecil berbanding keuntungan Petronas yang melebihi RM30 bilion.
“Peruntukan sekitar RM5 hingga RM6 bilion daripada pendapatan Petronas mungkin dapat mengurangkan beban harga bahan api yang ditanggung pengguna,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu kebergantungan Malaysia terhadap hasil hidrokarbon serta kelemahan sistem pengangkutan awam yang didakwa tidak diurus dengan baik.
Katanya, kedua-dua faktor tersebut menyumbang kepada kebergantungan tinggi terhadap bahan api import bagi kegunaan domestik.
Mengulas lanjut, Ramasamy menyindir segelintir Ahli Parlimen kerajaan yang menurutnya terlalu memberi tumpuan kepada pelaburan jangka panjang Petronas, sedangkan keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api hidrokarbon yang memberi kesan kepada alam sekitar.
“Mungkin Ahli Parlimen kerajaan tidak perlu terlalu ghairah bercakap tentang pelaburan jangka panjang Petronas, sebaliknya fokus kepada bagaimana negara boleh mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api serta membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut mempersoalkan sama ada terdapat cadangan daripada Ahli Parlimen DAP untuk memastikan Petronas bertanggungjawab kepada Parlimen, dan bukannya hanya kepada Perdana Menteri.
Tambahnya lagi, Ahli Parlimen kerajaan pimpinan Pakatan Harapan seharusnya memberi penekanan kepada reformasi institusi terlebih dahulu sebelum membincangkan strategi pelaburan jangka panjang syarikat petroleum negara itu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Prof. Dr. Ramasamy


