Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan Malaysia memiliki aset strategik baharu yang berpotensi memberi impak lebih besar berbanding petroleum iaitu unsur nadir bumi (REE)
Menurut beliau, selama ini petroleum dilihat sebagai kuasa utama dalam pasaran tenaga, namun perkembangan semasa membuka mata bahawa negara mempunyai kelebihan lain yang lebih besar sekiranya dimanfaatkan dengan baik.
“Sekian lama, kita sedar bahawa petroleum adalah kuasa pasaran tenaga. Perang ketika ini mengetuk kelalaian kita bahawa negara memiliki satu aset strategik baru yang kesannya lebih besar berbanding petroleum.
“Pasaran REE mungkin tidak sebesar minyak dari segi nilai dagangan harian ketika ini, tetapi ia akan berkembang menjadi besar pada masa hadapan.
“Sesuai dengan perkembangan teknologi moden, daripada telefon pintar hinggalah kepada kenderaan elektrik, daripada turbin angin hingga radar dan sistem komunikasi ktenteraan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau menjelaskan kehadiran REE mentah, ditambah dengan kawalan terhadap pemprosesan dan lesen eksport, mampu memberikan kelebihan strategik jangka panjang kepada negara dalam sektor ekonomi, pertahanan dan teknologi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kegagalan negara untuk bersedia memanfaatkan sumber tersebut hanya akan mengulangi kesilapan lalu, di mana hasil bumi dieksport tanpa nilai tambah dan keuntungan besar dinikmati pihak luar.
“Kita perlu mengubah sejarah lama daripada sekadar menjadi penonton di tanah sendiri. Hasil bumi dikorek, tanah terbiar kosong namun nilai tambah dibawa keluar,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia perlu menjadi negara yang mengawal masa depan sendiri dengan menetapkan beberapa teras penting, termasuk dasar nilai tambah yang jelas bagi memastikan pemprosesan REE dilakukan dalam negara.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pendekatan eksport yang berpandu, melibatkan pemilihan pembeli, syarat teknologi serta pulangan industri, sekali gus membuka ruang kepada diplomasi mineral di peringkat serantau dan global.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa pembangunan sektor REE perlu diseimbangkan dengan kelestarian alam sekitar, dengan standard yang lebih ketat perlu digubal, dilaksanakan dan dipantau bagi mengelakkan konflik antara kepentingan ekonomi dan sosial. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto; Akaun Media Sosial Tuan Ibrahim Tuan Man
