Oleh Mynewshub
GEORGE TOWN – Tapak Rumah Berhala Swamimalai Sri Muniswarar di Taman Brown, Pulau Pinang berjaya memperoleh Lesen Pendudukan Sementara (TOL)
Ahli Dewan Negara, R. A. Lingeshwaran berkata, perkara itu dicapai selepas usaha dan perbincangan selama bertahun-tahun.
Menurut beliau, perkembangan itu merupakan satu pencapaian yang amat menggalakkan selepas sekian lama usaha dilakukan untuk mendapatkan kelulusan berkenaan.
“Kami telah berjaya menyerahkan TOL bagi tanah kepada Rumah Berhala Swamimalai Sri Muniswarar.
“Selepas bertahun-tahun usaha dan perbincangan, amat menggalakkan apabila kuil ini akhirnya menerima kelulusan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Lingeshwaran berkata, pihaknya akan terus berusaha memastikan kuil-kuil diselaraskan dengan sewajarnya dan diberikan kelulusan yang diperlukan supaya ia dapat beroperasi secara sah dan selamat.
“Di Pulau Pinang, kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu sebanyak mungkin kuil mendapatkan pengiktirafan dan kelulusan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Ramkarpal Singh, RSN Rayer, Kumaresan Aramugam dan Visvenathan Tangavello atas sokongan serta kerjasama mereka. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: FB Lingesh RA


