Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Syarikat Malaysia yang dipaksa membayar tarif kepada Amerika Syarikat (AS) sejak tahun lalu berhak menuntut bayaran balik serta faedah ke atas pembayaran tarif tersebut.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, ia ekoran perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) ditandatangani Malaysia dan AS tahun lalu telah terbatal seperti disahkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut beliau, kerajaan Malaysia harus menyenaraikan jumlah tarif yang telah dibayar syarikat Malaysia dan membantu syarikat terbabit menuntut semula bayaran balik tarif serta faedah berkaitan.
“Bolehkah Malaysia menuntut agar bahagian Malaysia daripada AS$166 bilion tarif yang dikutip secara tidak sah oleh kerajaan AS sejak 2025 dipulangkan kepada syarikat-syarikat Malaysia?
“Ini susulan berita baik apabila Menteri MITI mengesahkan ART ditandatangani Malaysia dan AS tahun lalu kini terbatal selepas keputusan Mahkamah Agung AS memutuskan tarif dikenakan oleh Presiden Donald Trump adalah tidak sah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kira-kira AS$166 bilion tarif yang dikutip sepanjang tahun lalu di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Agung pada Februari 2026.
Menurut beliau, mahkamah sama juga memutuskan bahawa kerajaan AS mesti memberi bayaran balik bukan sahaja bagi semua tarif yang dikutip secara tidak sah, tetapi juga membayar faedah ke atas bayaran tersebut. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


