Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim FC (JDT) bakal menghadiahkan cincin kejuaraan eksklusif kepada skuad Harimau Selatan sebagai simbolik meraikan kejayaan pasukan itu.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, cincin kejuaraan tersebut akan dihasilkan khas sebagai kenangan kepada para pemain yang menjadi sebahagian daripada kejayaan luar biasa kelab berkenaan.
Menurut kenyataan itu, cincin berkenaan diperbuat daripada gabungan platinum dan emas serta dihiasi batu permata seperti nilam dan berlian.
Selain itu, rekaan cincin tersebut turut menampilkan elemen khas yang melambangkan pencapaian luar biasa JDT yang hampir pasti meraih kejuaraan liga buat kali ke-12 berturut-turut.
Setakat ini, skuad Harimau Selatan mempamerkan dominasi mutlak dalam saingan liga apabila memenangi kesemua 18 perlawanan yang telah diharungi.
JDT kini hanya memerlukan dua mata daripada baki enam perlawanan liga untuk sekali lagi mengesahkan kejuaraan musim ini.
Jika berjaya, kejayaan tersebut akan mengukuhkan lagi status JDT sebagai kuasa dominan bola sepak tempatan dengan rekod kejuaraan liga berturut-turut yang sukar ditandingi. – MYNEWSHUB


