Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menggesa semua pihak menghentikan segera segala bentuk keganasan dan provokasi berkaitan agama dan kaum di negara ini.
Beliau menekankan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak tegas terhadap semua pelaku keganasan tanpa mengira siapa mereka.
“Enough is enough (Cukup-cukup Sudah). Sudah tiba masa semua bentuk keganasan dan provokasi agama serta kaum dihentikan sepenuhnya. PDRM harus bertindak segera dan tegas terhadap semua pelaku tak kira siapa.
“Mereka harus dikenakan tindakan undang-undang yang paling keras sekali, tak kira yang pijak al-Quran, yang pijak simbol agama Hindu, yang buat provokasi roboh kuil, yang buat vandalisme, yang bakar kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Steven Sim yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, rakyat Malaysia perlu bersatu dalam menolak ejen provokasi dan ekstremisme kerana musuh rakyat negara ini bukan sesama sendiri.
Menurut beliau, ketika dunia sedang bergolak, rakyat Malaysia harus bersatu untuk hebatkan perniagaan dan bangunkan ekonomi negara demi kesejahteraan semua.
Justeru, katanya, semua pihak bertanggungjawab untuk menurunkan suhu perkauman dalam masyarakat majmuk negara Ini dengan berhenti menyebarkan dan berkongsi kebencian.
“Berhenti tambah api perpecahan. Saya akan bangkitkan isu ini dalam mesyuarat Kabinet esok,” katanya. – MYNEWSHUB


