Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff menyarankan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kembali kepada UMNO dalam usaha memperkukuh penyatuan orang Melayu.
Menurut beliau, pelbagai isu besar dan sensitif yang sedang melanda ketika ini termasuk isu kewujudan kuil yang didakwa tidak sah memerlukan suara Melayu yang bersatu padu dan kuat untuk ditangani.
“Maka dalam senario ini, adalah disarankan ahli-ahli Bersatu kembali ke asalnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa Bersatu sebenarnya serpihan UMNO dengan ramai pemimpinnya berasal daripada parti tersebut.
Antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menurutnya ‘berdarah’ UMNO dan cara berfikir mereka juga seperti parti itu.
Sehubungan itu, beliau berpandangan adalah wajar untuk mereka kembali kepada UMNO, lebih-lebih lagi apabila parti berkenaan kini membuka pintu kepada bekas ahlinya sama ada yang dipecat, digantung atau meninggalkan parti sebelum ini.
“Lupa sengketa lalu dan berpaut kembali kepada tunjang di mana beliau datang iaitu UMNO dan pemimpin-peminpin UMNO sekarang perlu juga melihat senario yang lebih besar dan penting.
“Keluarlah daripada kepompong mementingkan diri dan kroni. Kembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO dengan memperlihatan penyatuan dan silaturahim yang ikhlas sempena bulan mulia Aidilfitri dengan bermaaf-maafan dalam kalangan pemimpin-pemimpin politik Melayu,” katanya. – MYNEWSHUB
