KUANTAN, 26 Mac 2026 – Seorang anggota tentera yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika bertugas dalam Op PASIR di Semporna, Sabah, telah berjaya dikesan dan ditahan pihak berkuasa.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota berkenaan dikenal pasti sebagai Renjer Fredenick anak Petrus, 21, dari Kompeni C, Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD).
Menurut kenyataan itu, anggota tersebut dilaporkan tidak hadir semasa pemeriksaan baris pagi di Pos Pulau Pandanan pada 14 Mac lalu sebelum usaha mengesan dilancarkan.
“Hasil tindakan pengesanan, anggota berkenaan berjaya ditangkap oleh pasukan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di Kota Samarahan, Sarawak pada 19 Mac 2026,” menurut kenyataan itu.
Anggota terbabit kemudiannya dibawa ke hadapan Majistret Kota Samarahan dan kini ditahan di Kem Muara Tuang bagi tujuan siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati kes tersebut melibatkan ketidakhadiran tanpa cuti (THTC), namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa tentera.
MK AB menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.
Dalam masa sama, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. -MYNEWSHUB


