Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur kerana beliau telah membuat beberapa pengumuman khusus buat rakyat menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau yang ketika ini berada di Kota Kinabalu, Sabah berkata, pengumuman itu adalah berkenaan cuti tambahan pada Jumaat atau Isnin, tertakluk kepada tarikh Hari Raya Aidilfitri.
“Alhamdulillah, saya telah membuat beberapa pengumuman khusus buat rakyat menjelang perayaan Aidilfitri,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri mengumumkan cuti tambahan akan diberikan tanpa mengira tarikh Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Jumaat atau Sabtu.
Cuti tambahan ditetapkan pada Isnin depan jika tarikh Aidilfitri jatuh pada Jumaat, manakala jika hari raya jatuh pada Sabtu ini, cuti tersebut diberikan pada Jumaat.
Anwar seterusnya berkata, beliau juga telah mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri berkuat kuasa 14 hingga 28 Mac 2026.
“Moga inisiatif ini membantu meringankan kos sara hidup rakyat, memastikan harga barangan kekal berpatutan selain memudahkan perjalanan pulang ke kampung.
“Semoga Syawal yang bakal tiba membawa lebih kebahagiaan, keberkatan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


