Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru terus mempertahankan keamanan dan keharmonian negara walaupun dunia kini berdepan pelbagai ketidaktentuan serta cabaran ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata, Malaysia masih mampu menikmati suasana aman dan pertumbuhan yang membanggakan hasil kestabilan yang dikecapi selama ini.
Menurutnya, keadaan tersebut membolehkan kerajaan menyalurkan pelbagai skim serta bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
“Syukur alhamdulillah. Walaupun dunia dalam serba ketidaktentuan dan keadaan ekonomi semakin mencabar, negara kita terus menikmati keamanan dan pertumbuhan yang membanggakan.
“Dengan kestabilan dan keharmonian ini pelbagai skim dan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat. Syukur jadi rakyat Malaysia, alhamdulillah,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Tambah beliau, rakyat juga perlu bersatu mempertahankan keamanan negara serta menolak sebarang unsur yang boleh menggugat keselamatan dan mencetuskan perbalahan dalam masyarakat.
“Jom semua kita pertahankan keharmonian dan keamanan Malaysia. Kita tolak segala unsur dan anasir yang cuba mengganggu gugat keselamatan serta mencetuskan perbalahan.
“Terus bersyukur dan fokus untuk menyebarkan kebaikan,” ujarnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: FB Zulkifli Hassan


