Oleh Mynewshub
RAUB – Satu tragedi kebakaran dahsyat meragut lima nyawa sekeluarga, termasuk seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong, dilaporkan berlaku di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong, awal pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Allahyarhamah Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi, yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Raub Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar 3.35 pagi.
“Sejurus pemadaman kita menjumpai kesemua mangsa di lokasi kejadian, ” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Beliau berkata kesemua mayat berkenaan akan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.15 pagi mendapati sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 40 x30 kaki persegi telah terbakar.
“Berdasarkan laporan operasi, terdapat terdapat lima mangsa ditemukan rentung di dalam rumah berkenaan membabitkan lelaki dan perempuan dewasa berserta tiga kanak-kanak.
“Kemusnahan struktur rumah adalah 100 peratus dan turut terbakar tiga buah kereta serta tiga buah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Lebih memilukan, kedua-dua ibu bapa mangsa turut terkorban dalam insiden tersebut, menjadikan tragedi ini antara yang paling menyayat hati kerana hampir keseluruhan ahli keluarga terlibat.
Bagaimanapun, kakak mangsa terselamat kerana sedang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, manakala adik mangsa tidak berada di rumah ketika kejadian kerana menetap di asrama SMK Dong.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dalam satu kenyataan menyatakan rasa amat terkesan dan dukacita atas kejadian yang menimpa pelajar MRSM berkenaan serta keluarganya.
“Ini adalah satu ujian yang terlalu berat untuk dipikul. Kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MARA akan menghulurkan bantuan sewajarnya dan memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan terus diberi perhatian serta sokongan yang diperlukan dalam tempoh sukar ini.
“Insya-Allah, pihak MARA akan memastikan bantuan dan sokongan disalurkan bagi meringankan beban keluarga mangsa,” tambahnya.
Orang ramai turut diajak untuk menghadiahkan doa buat semua mangsa yang terkorban agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. –MYNEWSHUB


