Oleh Mynewshub
JAKARTA – Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan kesediaan beliau untuk berperanan sebagai orang tengah dalam konflik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
Menurut laporan media negara tersebut, kenyataan itu dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi Kementerian Luar Negeri Indonesia yang menegaskan komitmen Indonesia terhadap usaha meredakan ketegangan serantau.
Dalam kenyataan tersebut, Prabowo menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang bentuk serangan serta mengutamakan pendekatan dialog dan diplomasi bagi mencari penyelesaian yang aman dan berkekalan.
“Indonesia menyeru kepada semua pihak untuk menahan diri dan mengutamakan dialog serta diplomasi,” menurut kenyataan berkenaan.
Tambah kenyataan itu lagi, Indonesia turut menyatakan kesediaan untuk terlibat secara langsung dalam usaha perdamaian sekiranya kedua-dua negara terbabit bersetuju dengan langkah tersebut.
“Kerajaan Indonesia bersedia memudah cara dialog bagi memulihkan keadaan keselamatan yang kondusif.
“Jika kedua-dua belah pihak bersetuju, Presiden Indonesia sedia mengadakan lawatan ke Tehran bagi melaksanakan sesi mediasi,” jelas kenyataan tersebut. – MYNEWSHUB


