Jangan Bertindak Di Luar Perlembagaan
Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan bahawa pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan atau menghalang perhimpunan aman yang dijalankan secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan media bertarikh hari ini, Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata, hak berhimpun secara aman merupakan hak asasi yang dijamin secara jelas di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, kenyataan bahawa sesuatu perhimpunan aman adalah “tidak dibenarkan” bercanggah dengan prinsip undang-undang perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Polis tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan atau tidak membenarkan perhimpunan aman selagi ia dijalankan secara aman dan tanpa senjata,” katanya.
PPMM turut merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Amir Hariri Abd Hadi v Pendakwa Raya yang menegaskan bahawa hak berhimpun secara aman bukanlah satu keistimewaan yang bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa, sebaliknya hak perlembagaan yang wajib dihormati dan dilindungi.
Selain itu, Mahkamah Persekutuan juga sebelum ini memutuskan bahawa peruntukan undang-undang yang menjadikan kegagalan memberi notis perhimpunan sebagai satu kesalahan jenayah adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan tersebut memperjelaskan bahawa keperluan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak boleh ditafsir sebagai kuasa untuk melarang perhimpunan, apatah lagi menjadikannya tidak sah secara automatik.
PPMM turut menegaskan bahawa bantahan daripada pihak tertentu seperti peniaga di sekitar kawasan perhimpunan bukanlah alasan yang sah untuk melarang perhimpunan aman.
Dalam satu kes pada tahun 2016, tindakan untuk menghalang perhimpunan atas alasan tersebut telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
Menurut kenyataan itu lagi, peranan dan tanggungjawab polis adalah untuk memudahcara pelaksanaan hak berhimpun secara aman, menjaga keselamatan peserta dan orang awam serta memastikan ketenteraman tanpa menafikan hak perlembagaan rakyat.
“Pendekatan yang bersifat melarang, menakut-nakutkan atau mengugut penganjur dan peserta bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, malah merosakkan prinsip kedaulatan undang-undang dan demokrasi berperlembagaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, PPMM menggesa pihak polis supaya mematuhi sepenuhnya kehendak Perlembagaan Persekutuan serta keputusan Mahkamah Persekutuan dan mengambil pendekatan yang selari dengan prinsip hak asasi manusia serta tadbir urus demokratik. –MYNEWSHUB





