Oleh Mynewshub
SHAH ALAM – Aktivis masyarakat, Tamim Dahari, hari ini menyerahkan satu memorandum tuntutan berkaitan isu pencerobohan tanah di Selangor kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Tamim memaklumkan bahawa hasil pertemuan itu, Amirudin memberi jaminan akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu bagi memperhalusi semula Prosedur Operasi Standard (SOP) Tatacara Pengendalian Pencerobohan dan Pembangunan Tidak Sah (LIMAS) di negeri ini.
Menurut beliau, memorandum berkenaan menggariskan tiga tuntutan utama rakyat terhadap isu pencerobohan tanah yang dilihat semakin membimbangkan.
“Antara tuntutan yang dikemukakan ialah tindakan undang-undang yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menceroboh, termasuk pencerobohan ke atas tanah milik kerajaan negeri, agensi kerajaan atau tanah persendirian,” katanya.
Selain itu, Tamim menegaskan tuntutan kedua adalah agar tiada sebarang penggantian tanah diberikan kepada penceroboh, sama ada melibatkan tanah kerajaan atau tanah milik pemaju.
“Tuntutan ketiga pula adalah penegasan bahawa tiada pampasan wang perlu diberikan kepada penceroboh dalam apa jua bentuk atau alasan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa satu surat rasmi berkaitan data rumah anutan haram akan dihantar kepada Pejabat Menteri Besar Selangor dalam masa terdekat bagi tujuan tindakan lanjut.
Isu pencerobohan tanah sebelum ini menjadi perhatian umum, khususnya melibatkan kawasan sensitif dan tanah strategik di Selangor, sekali gus mencetuskan desakan agar kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas dan bersepadu.-MYNEWSHUB


