Oleh Mynewshub
SELAYANG – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meletakkan trak tunda bagi menghalang wakil 300 badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyerahkan memorandum berhubung isu rumah ibadat tiada kelulusan hari ini.
Dakwa beliau, trak penunda tersebut diletakkan di laluan masuk MPS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut turut menutup pagar yang dibentengi oleh berpuluh pegawai penguat kuasa.
“Alangkah baiknya jika puluhan penguat kuasa MPS yang dijadikan benteng depan pagar dihantar menguatkuasakan undang-undang dan merobohkan rumah ibadat ‘haram’ di Selayang.
“Sebelum beransur, kami memberikan komitmen kepada MPS jika mereka kekurangan tenaga kerja, kami ada ramai sudi membantu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari Ini.
Firdaus Wong berkata, wakil NGO terbabit bagaimanapun menerima layanan yang baik dan profesional daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ketika menyerahkan memorandum hari ini.
Kata beliau, IPD Gombak menempatkan anggotanya bagi mengawal lalu lintas dan pintu pagar dibuka, parkir disediakan dan Ketua Polis Daerah (OCPD) Gombak sendiri menerima memorandum berkenaan.
“Memorandum kepada IPD Gombak merangkumi meminta IPD Gombak menangkap penceroboh tanah dan penghasut serta pelindung penceroboh tanah,” katanya.
“Ini hanya permulaan. Selepas ini akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kesemua PBT,” katanya. – MYNEWSHUB


