Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kontroversi melibatkan aktiviti Street Dakwah oleh pertubuhan MRM akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila barangan yang dirampas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dipulangkan semula dan aktiviti dakwah dibenarkan untuk diteruskan seperti biasa.
Perkara itu dimaklumkan oleh aktivis dakwah, Firdaus Wong, selepas beliau dihubungi pegawai kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, bagi satu pertemuan khas untuk membincangkan isu berkenaan.
Menurut Firdaus, perbincangan yang berlangsung hampir 45 minit itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak menjelaskan pendirian masing-masing, khususnya berkaitan tindakan DBKL merampas reruai serta barangan Street Dakwah MRM sebelum ini.
“Datuk Azman menzahirkan sokongan terhadap usaha dakwah yang dijalankan oleh MRM. Banyak perkara dibincangkan secara terbuka dan harmoni, bukan sahaja berkaitan isu reruai, tetapi juga hala tuju aktiviti dakwah di ruang awam,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Hasil perbincangan tersebut menyaksikan satu keputusan positif dicapai apabila barangan Street Dakwah MRM yang dirampas DBKL akan dipulangkan, manakala aktiviti dakwah jalanan itu boleh diteruskan seperti biasa, tertakluk kepada peraturan sedia ada.
Perkembangan itu disambut baik oleh ramai pihak yang melihat ia sebagai contoh penyelesaian matang melalui dialog dan rundingan, tanpa perlu mencetuskan ketegangan berpanjangan.
Isu Street Dakwah sebelum ini mencetuskan perdebatan di media sosial, dengan pelbagai pandangan dikemukakan berkaitan penggunaan ruang awam serta kaedah dakwah yang sesuai di bandar raya.
Dengan keputusan terbaharu ini, ramai berharap usaha dakwah dapat diteruskan secara harmoni, sambil menghormati undang-undang dan peraturan pihak berkuasa tempatan.-MYNEWSHUB


