KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung melahirkan rasa kesal apabila kes melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam dijadikan modal untuk menyindir agama Islam dan umatnya.
Beliau mempersoalkan sama ada mereka yang membuat sindiran itu terlupa bahawa banyak tanah telah diceroboh dan rumah ibadat haram telah didirikan.
“Bila Muslim disiasat, salah Islam dan umat Islam? Bila mereka menceroboh tanah dan mendirikan rumah ibadat haram, mereka tidak bersalah kerana telah ada sekian lama?
“Muslim pula dituduh rasis dan ekstremis kerana ingin mendaulatkan undang-undang? Mereka tidak pernah salah dan Muslim sentiasa dipersalahkan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Firdaus Wong turut mempersoalkan berapa ramai penceroboh dan individu yang mendirikan rumah ibadat haram telah ditahan, disiasat dan didakwa.
Katanya, Wilayah Persekutuan dan Selangor sahaja dilaporkan mempunyai lebih 850 rumah ibadat yang didirikan secara haram bukan di atas tanah milik mereka.
“Jika 850 rumah ibadat itu didirikan secara haram (bukan atas tanah milik mereka), bagaimana pula audit kewangan mereka? Adakah didaftarkan dengan ROS atau SSM atau tidak berdaftar?
“Jika didirikan secara haram, bagaimana mereka mendapat bekalan elektrik dan air? Adakah terdapat unsur salah guna kuasa di situ?,” katanya.
Dalam pada itu, Firdaus Wong berkata, adalah tidak adil untuk melabel keseluruhan umat Islam berdasarkan dakwaan atau siasatan yang belum dibuktikan di mahkamah.
Menurutnya, dalam sistem keadilan terdapat tiga tahap iaitu siasatan, pendakwaan dan sabitan, namun sebilangan pihak berhenti di tahap pertama lalu membuat kesimpulan.
“Ini bukan lagi soal undang-undang, tetapi soal integriti berfikir. Saya tidak kata tiada salah. Jika salah, buktikan di mahkamah. Jika bersalah, hukum. Tetapi jika belum dibuktikan, jangan pula kita menjadi hakim tanpa bukti.
“Prinsip Islam mengajar seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, bukannya dikira bersalah hanya kerana disiasat dan didakwa semata-mata,” katanya.
Beliau seterusnya menyindir segelintir pihak yang cepat menafikan sesuatu kes apabila melibatkan ahli, parti politik atau individu pujaan mereka.
Menurutnya, itu belum termasuk kes yang telah disabitkan kesalahan, namun masih ada yang mengatakan individu atau parti pujaan mereka tidak bersalah.
“Adakah kita konsisten dengan prinsip berfikir atau kita mudah terpengaruh dengan tajuk utama yang sensasi dan persepsi?
“Andai mereka terlepas hukuman di dunia, di akhirat bukan sahaja mereka akan dipertanggungjawabkan, malah kita yang menulis dan memberikan komentar juga akan dipertanggungjawabkan.
“Bayangkan pula jika mereka yang disiasat ini tidak bersalah, tetapi anda telah menuduh mereka dengan pelbagai tuduhan. Apa pula jawapan anda di hadapan Allah di Padang Mahsyar nanti?,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber: Akaun media sosial Firdaus Wong Wai Hung


