Oleh Mynewshub
SHAH ALAM – Sebanyak 687 kuil Hindu tanpa kebenaran direkodkan di Negeri Selangor sehingga 31 Januari lepas, menurut kenyataan rasmi Istana Selangor hari ini.

Statistik tersebut dimaklumkan kepada Sultan Selangor dan menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian dalam isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah.
Pecahan 687 Kuil Tanpa Kebenaran:
– 388 kuil dibina di atas tanah milik Kerajaan
– 299 kuil dibina di atas tanah milik persendirian
Menurut kenyataan berkenaan, angka 687 itu dianggap tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu di Selangor yang dianggarkan sekitar 11.3 peratus sahaja.
Jumlah tersebut belum mengambil kira kuil yang didirikan secara sah serta mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri, menjadikan Selangor mungkin memiliki ribuan buah kuil secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Sultan Selangor menzahirkan sokongan penuh terhadap kenyataan Perdana Menteri berhubung larangan pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa kebenaran serta tidak mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Menerusi kenyataan berkenaan, pendirian tersebut adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri pada 7 Februari yang menegaskan bahawa sebarang pembinaan rumah ibadat mesti mengikut peraturan, garis panduan dan kelulusan sah pihak berkuasa.
Menurut kenyataan itu, perkara tersebut sekali lagi ditegaskan Perdana Menteri ketika menghadap baginda Sultan Selangor pada 8 Februari lalu.
Pembinaan tanpa kelulusan, termasuk yang melibatkan pencerobohan tanah kerajaan atau tanah persendirian, boleh mencetuskan pertelingkahan antara penganut agama serta menjejaskan keharmonian dan keselamatan negeri.
Sehubungan itu, aspek pemantauan oleh pihak berkuasa perlu diperkasakan bagi membanteras dan mengawal pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di Selangor.
Baginda juga menegaskan agar isu pembinaan kuil tanpa kebenaran ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia telah lama menimbulkan keresahan serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Datuk Mohamad Munir Bani, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor dan bertarikh 10 Februari 2026.
—
Sumber: Kenyataan Rasmi Istana Selangor



