Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku dan pelanggaran disiplin membabitkan setiap warganya yang mencemarkan imej serta maruah angkatan itu.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, tindakan paling tegas akan diambil termasuk boleh diberhentikan daripada perkhidmatan jika mana-mana warga angkatan itu didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.
Katanya, TUDM memandang serius setiap isu membabitkan disiplin dan integriti warganya dengan tindakan tegas akan diambil selaras peraturan perkhidmatan demi memelihara imej, maruah serta profesionalisme angkatan berkenaan.
“Saya selaku Panglima Tentera Udara bersama kepimpinan tertinggi TUDM berasa kesal (situasi semasa ketika ini) dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin.
“Siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan perkhidmatan.
“Sebarang aktiviti tidak bermoral yang dilakukan di dalam pangkalan adalah dilarang sama sekali kerana ia mencemarkan imej dan maruah TUDM,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di beberapa platform media sosial beberapa gambar dan rakaman video mendakwa berlaku budaya tidak wajar dan perlakuan yang tidak selaras dengan etika perkhidmatan di dalam kem tentera.
Kelmarin media melaporkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan budaya tidak wajar dalam kem tentera yang tular di media sosial.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan, memaklumkan siasatan itu bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.
-Harian Metro


